Sabtu, 21 Desember 2013

CULIK Polis Buru Dua Suspek Kenalan Keluarga Mangsa


KUALA LUMPUR – Polis sedang memburu dua suspek berusia 30-an masing-masing seorang lelaki dan wanita yang dipercayai menculik seorang kanak-kanak lelaki warga Britain, berusia setahun lapan bulan di sini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah percaya kedua-dua suspek itu dikenali keluarga kanak-kanak berkenaan.

Beliau berkata pihaknya kini sedang mengenal pasti identiti kedua-dua suspek sama ada mereka warga tempatan atau asing.

“Kita percaya kes ini tiada kaitan dengan meminta wang tebusan, mungkin ada motif lain dan kita sedang siasat,” katanya kepada pemberita di Balai Polis Pantai.

Dalam kejadian pukul 6.10 petang semalam, kanak-kanak itu Freddie Joseph dipercayai diculik ketika kanak-kanak itu bersama ibunya sedang minum petang di halaman rumah mereka di Jalan Terasik 7, Bangsar.

Bagaimanapun kanak-kanak tersebut telah dijumpai orang awam di Taman Tasik Titiwangsa, kira-kira 12.20 tengah hari tadi dalam keadaan keletihan.

Mengulas lanjut mengenai penemuan kanak-kanak tersebut, Chin Wah berkata kanak-kanak tersebut akan dimasukkan ke hospital untuk pemeriksaan lanjut sebelum diserahkan kepada ibunya.

Katanya, polis akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan Taman Tasik Titiwangsa bagi mengesan waktu suspek meninggalkan kanak-kanak itu.

Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian boleh menyalurkannya di balai berdekatan bagi membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Culik 1961. – Bernama

Tidak ada komentar:

Posting Komentar